KUALA LUMPUR: Nordin Ibrohim Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahguna kedudukannya dalam penganugerahan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.
Suspek berusia 62 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dilancarkan SPRM pada jam 11 pagi pada 15 Februari lalu. Turut ditahan dalam operasi itu ialah isterinya yang berusia 38 tahun.
Difahamkan, suspek menyalahgunakan kedudukannya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar di NAFAS kerajaan berkenaan dari tahun 2014 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar pada September tahun lalu. Dia juga dipercayai turut terbabit secara langsung dalam proses perolehan pembekalan sebut harga malah menjadi pegawai yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran kepada syarikat milik isterinya.
Kedua-dua syarikat milik isterinya itu masing-masing ditubuhkan pada 2010 dan 2015. Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Dato Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
NAFAS dianggotai oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri, dianggotai oleh 278 Pertubuhan Peladang Kawasan, 869,622 ahli peladang di seluruh negara dengan 10 buah anak syarikatnya dibawahnya iaitu NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, NAFAS Agri Services Sdn Bhd, NAFAS Jentera Sdn Bhd, NAFAS Estates Sdn Bhd, NAFAS Plastic Industries Sdn Bhd, NAFAS Food Processing & Marketing Sdn Bhd, Saby Sdn Bhd, NAFAS Modal Insan Sdn Bhd, Malaysian NPK Fertilezer Sdn Bhd dan NAFAS Taj Agro (M) Sdn Bhd.
Umum mengetahui NAFAS memonopoli projek pembekalan baja dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dikatakan Nordin Ibrohim terlibat dengan baja yang di import dari Pulau Krismas Australia. Pengerusi NAFAS Dato' Seri Saipolbahari Hj Suibpernah digantung keahlian sebagai Ketua Bahagian UMNO Bakri kerana terlibat dengan politik wang.
Dato' Mohd Arif Abd Rahman bekas KSU Kementerian Pertanian dan Asas Tani turut ditahan dan didakwa SPRM baru-baru ini kerana kes rasuah.